BUKIT MERTAJAM: Beberapa jalan utama di sekitar Bukit Mertajam akan ditutup selama dua hari bermula 9 pagi pada Sabtu hingga 3 petang Ahad ini bersempena dengan perayaan keagamaan Kristian, sambutan St Anne di Gereja Minor Basilica St Anne yang diadakan esok hingga 28 Julai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata jalan yang terlibat ialah Jalan Kulim bermula dari hadapan stesen minyak Caltex menuju ke persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Indah, Jalan Tenang, Jalan Taman B dan Jalan Sepakat.

Beliau berkata penugasan bagi kawalan lalu lintas telah pun dimulakan hari ini hingga Ahad dengan anggota trafik ditempatkan di simpang-simpang jalan utama.

“Pengguna jalan raya yang ingin ke Kulim dari arah Bukit Mertajam akan dilencongkan ke jalan alternatif iaitu dari Jalan Kampung Baru menuju ke Jalan Rozhan.

“Bagi pengguna dari Kulim yang ingin menghala ke Bukit Mertajam pula akan dilencongkan ke Jalan Sepakat dan Jalan Taman B menuju ke Jalan Kampung Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helmi memaklumkan perarakan lilin sejauh 1.6 kilometer akan diadakan pada 7 malam Sabtu bermula dari pintu 3 gereja St Anne dengan melalui Jalan Kulim, Jalan Kampung Baru dan Jalan Berjaya sebelum kembali semula ke pintu 1 gereja berkenaan dan dijangka selesai pada 11 malam.

Beliau berkata jalan yang ditutup akan dibuka dan beroperasi sepenuhnya seperti biasa selepas pukul 3 petang Ahad sejurus acara selesai.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap pengguna jalan raya dan masyarakat setempat dapat memberi kerjasama untuk memastikan kelancaran perjalanan upacara keagamaan berkenaan dan ketenteraman awam.

Dijangkakan lebih 100,000 orang menghadiri sambutan perayaan keagamaan itu di Gereja Minor Basilica St Anne, yang merupakan antara lokasi tumpuan di negara ini saban tahun.