KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (SEB) telah memperoleh dua kontrak dari pelanggan jangka panjangnya di Thailand, dengan nilai gabungan melebihi RM500 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh berkata anugerah itu dibina atas perkongsian sekian lama SEB dengan pelanggannya di Thailand, memandangkan rekod prestasi terbukti kumpulan untuk kerja-kerja luar pesisir di negara berkenaan.
“Ia juga memaparkan strategi pembidaan untuk projek-projek yang selaras dengan selera risiko, keupayaan teras dan kecekapan penempatan kapal kami,“ katanya melalui satu kenyataan hari ini.
SEB berkata kontrak itu telah diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Sapura Energy (Thailand) Ltd (Seth) bagi kempen pemasangan dan penyingkiran serta perkhidmatan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan bawah laut (IRM).
Kontrak pemasangan dan penyingkiran, yang dianugerahkan oleh Chevron Thailand Exploration and Production Ltd serta Chevron Offshore (Thailand) Ltd dijangka siap menjelang akhir 2026.
SEB berkata pemasangan dan penyingkiran luar pesisir akan dilaksanakan oleh pasukan kejuruteraan dan pembinaan kumpulannya.
Sementara itu, tempahan perkhidmatan bagi khidmat IRM bawah laut SEB telah dianugerahkan oleh PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) dengan skop kerja yang merangkumi operasi selam tepu untuk kemudahan di blok petroleum luar pesisir di Teluk Thailand (projek G1/61 dan G2/61).
SEB berkata operasi ini akan dilaksanakan oleh segmen perniagaan operasi dan penyelenggaraan kumpulan dengan menggunakan kapal pembinaan bawah laut khusus SEB, Sapura Constructor yang dilengkapi penginapan untuk 120 kakitangan termasuk fasiliti sokongan selaman sehingga 15 penyelam.
“Kerja-kerja untuk IRM bawah laut telah bermula pada suku kedua 2025. SEB sudah pun melaksanakan kerja-kerja IRM bawah laut untuk PTTEP di Malaysia,“ katanya lagi. - Bernama