PUTRAJAYA: Sarawak menjadi negeri pertama yang setakat ini bersetuju menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia melibatkan salah satu stadium di negeri berkenaan sebagai menyambut tawaran dikemukakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Hannah Yeoh, bagaimanapun berkata tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan sudah menyatakan pendirian tidak bersetuju dalam usaha ke langkah itu berikutan mahu menggunakan rumput sedia ada dimiliki di stadium masing-masing ketika ini.

“Sementara negeri lain iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perlis, Melaka, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Sabah memohon untuk diberikan pelanjutan masa untuk mengkaji secara mendalam kesesuaian pelaksanaan penanaman rumput Zeon Zoysia di negeri masing-masing.

“Mereka mahu lihat dulu hasil penanaman rumput itu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berikutan beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan seperti naik taraf sistem saliran di stadium dan negeri berkenaan,“ katanya.

Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Menara KBS, di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak selaku negeri pertama yang bersetuju, bagaimanapun, belum membuat keputusan berhubung lokasi stadium di negeri itu yang akan digantikan dengan rumput jenis Zeon Zoysia bagi melihat kesesuaian penanaman rumput jenis berkenaan.

KBS sebelum ini menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.

Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, turut menggunakan rumput jenis tersebut. - Bernama