SEREMBAN: Ibu kepada Allahyarham Mohammad Aidil Ramdan Mohd Hisham,15, yang maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1, Khamis lepas, mahu menuntut keadilan atas kematian anaknya itu.
Haslinda Jupri, 44, berkata ini kerana kemalangan itu bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan anak sulung tetapi turut melibatkan anak bongsunya, Mohammad Asraf Adha, 14, yang kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
“Takkan saya nak biarkan orang buat macam itu...anak saya seorang sudah tiada (Mohammad Aidil Ramdan), saya takkan berdiam diri, saya nak keadilan untuk anak saya, itu yang saya nak sangat.
“ ...Alhamdulillah adiknya (Mohammad Asraf Adha) selamat, cuma patah kaki, keadaanya kini sudah stabil tapi belum boleh keluar hospital lagi kerana perlu menjalani pembedahan paha untuk memasukkan besi,“ katanya ketika ditemui di pekarangan HTJ di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Mohammad Aidil Ramdan bersama rakannya berusia 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, bersama seorang penumpang berusia 17 tahun, dari arah Senawang ke Paroi itu, dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua pelajar serta motosikal Honda Vario.
Malam tadi penunggang Honda Vario, Aisar Azim Abdullah, 17, disahkan meninggal dunia pada 7.23 malam ketika dirawat di hospital yang sama manakala pembonceng, Mohammad Asraf, pemandu serta penumpang kereta tersebut masih menerima rawatan.
Dalam pada itu, Haslinda berkata dia reda dengan kejadian menimpa kedua-dua anaknya itu namun menyatakan kekesalan dan sukar memaafkan pelaku.
Ibu tunggal itu berkata bapa kepada pemandu kereta (Honda Jazz) itu ada datang berjumpa dengannya di hospital namun tiada kata maaf yang keluar daripadanya.
“Kalau dia minta maaf pun saya tidak akan maafkan, anak saya sudah tiada, kalau anak saya boleh kembali saya boleh maafkan dia,“ katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Briged Negaraku Khairul Nizam Mohd Sopery berkata pihaknya bersedia menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada dua keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut bagi memastikan mereka mendapat keadilan.
“Kita sedia maklum keluarga mangsa yang terlibat bukanlah orang senang, mereka juga tidak ada pengalaman, jadi kita bantu mereka bagi urusan perundangan.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya minta kepada pihak keluarga (Haslinda) agar memberi fokus kepada rawatan anak keduanya itu, kita nak dia betul-betul sihat dan pulih, kita tidak mahu tergesa-gesa, kemudian baru kita uruskan,“ katanya.