LUNDU: Generasi muda yang berpotensi dalam bidang e-sukan perlu diberikan ruang dan infrastruktur bersesuaian kerana industri ini berkembang pesat dan mampu memberikan pulangan yang lumayan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata latihan dan bimbingan tidak seharusnya tertumpu kepada usaha melahirkan seorang atlet e-sukan semata-mata, tetapi juga sebagai pencipta kandungan digital atau pembangun perisian.
“Baru-baru ini, kita lihat pasukan Selangor Red Giants yang mewakili Malaysia dalam e-sukan telah bertanding di Riyadh (Arab Saudi) dan meraih tempat pertama.
“Saya harap kita mesti mampu melahirkan bakat tempatan dalam industri ini,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran inisiatif TVET HRD Corp-CENTEXS Commercial serta Hab Latihan dan Akademi Pensijilan e-sukan di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata lebih 408,000 pelajar telah mendaftar dalam pelbagai institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara tahun ini.
“Kejayaan TVET terbukti melalui kadar kebolehpasaran graduan yang kini mencapai 94.5 peratus di peringkat nasional. Ini bermakna daripada setiap 100 lepasan institusi TVET, 94 orang berjaya memperoleh pekerjaan,” katanya.