• 2025-09-08 04:01 PM

SEGAMAT: Kerajaan pusat mengesyorkan agar daerah Segamat dan Batu Pahat dimasukkan ke dalam Peta Zon Bencana Seismik Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan dan reka bentuk bangunan di kawasan berkenaan mengambil kira faktor seismik pada masa depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pengemaskinian peta zon bencana berkenaan akan membolehkan semua projek pembangunan di kawasan itu direka bentuk menggunakan konkrit berkualiti tinggi dan perincian besi mengikut standard MS EN 1998 National Annex untuk mampu menahan gegaran.

Beliau menjelaskan keperluan faktor seismik dalam analisis ini dikira berdasarkan keberadaan tapak mengikut Peak Ground Accelaration Hazard Map dalam National Annex.

Berdasarkan hazard map sedia ada, Segamat tidak termasuk dalam kawasan bencana menyebabkan reka bentuk bangunan di sini tidak diwajibkan mengikut standard seismik lebih tinggi.

Insiden gegaran baru-baru ini menunjukkan keperluan untuk mengemas kini hazard map dengan memasukkan Segamat dan Batu Pahat.

Ahmad Maslan berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat gempa bumi daripada Jabatan Kerja Raya Segamat dan melawat kesan bencana di beberapa bangunan kerajaan.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah menghasilkan Peta Zon Bencana Seismik Malaysia sebagai rujukan bagi tujuan pengurusan geobencana yang memberikan gambaran tahap gegaran seismik berpotensi dialami di Malaysia.

Maklumat ini penting dalam usaha menyokong perancangan pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko bencana.

Ahmad turut mencadangkan agar seismometer dipasang di kawasan berisiko untuk memberi amaran awal sekiranya gegaran berlaku pada skala tertentu.

Beliau menekankan kepentingan ini supaya rakyat lebih bersedia dan memastikan setiap bangunan kerajaan serta infrastruktur awam yang dibina kelak benar-benar tahan dan selamat digunakan.

Setakat ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara termasuk enam di Johor iaitu dua di Johor Bahru dan masing-masing satu di Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.

Sebelum ini beliau berkata 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil dengan kos pembaikan dianggarkan 550,000 ringgit.

Selain itu, 62 rumah persendirian dan dua surau turut terjejas akibat gegaran yang berlaku.

Johor dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya lapan gegaran bagi tempoh 24 Ogos hingga 3 September lepas, termasuk enam kali di Segamat dan dua di Batu Pahat. – Bernama