Your Title

PASIR GUDANG: Sebuah pusat pelupusan sisa kimia terjadual perlu segera diwujudkan di sini dalam usaha menangani masalah pencemaran di kawasan perindustrian itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata beliau telah menyuarakan cadangan itu kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan berharap ia dapat direalisasikan.

Beliau berkata insiden pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim di sini yang menggemparkan negara pada 2019 jelas menunjukkan kepentingan pusat pelupusan seumpama itu.

“Selagi pusat pelupusan sisa kimia terjadual ini tidak diwujudkan, saya merasa bimbang kerana sepatutnya sudah ada (pusat pelupusan) di Pasir Gudang.

“Jadi, saya telah cadangkan kepada menteri (Nik Nazmi) dalam satu taklimat sebulan lepas dan beliau mengambil maklum berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong, Permas Jaya, di sini, lewat petang Ahad.

Hassan berkata pusat itu juga dapat mengurangkan kos penghantaran bagi melupus sisa kimia yang ketika ini perlu dihantar ke pusat pelupusan di Negeri Sembilan.

“Jika ia tidak diwujudkan di Pasir Gudang, mungkin boleh di Pengerang atau kawasan berdekatan, kalau tidak, terpaksa sisa kimia dihantar ke Negeri Sembilan.

“Belanja pula besar dan jauh, jadi ini juga boleh mengelakkan syarikat-syarikat buang sisa kimia ke dalam sungai,” katanya.

Menurutnya, cadangan sama pernah dibangkitkannya di Parlimen kepada bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, justeru beliau mengharapkan agar ia dapat direalisasikan kerajaan ketika ini.–Bernama