PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bukan sekadar penyokong perniagaan malah juga memperjuangkan wawasan ekonomi yang sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

Timbalan Menterinya, Datuk R. Ramanan berkata usaha itu termasuk mengembangkan sektor francais di Malaysia agar menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.

“Rangka kerja ini menekankan aktiviti ekonomi berasaskan prinsip etika, keadilan sosial dan kemampanan.

“Selaras dengan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Negara 2030, saya yakin bidang keusahawanan khususnya sektor francais negara kita akan terus berkembang dan mempercepat pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan restoran Supamala Hotpot di sini, pada Khamis.

Supamala Hotpot diisytihar sebagai restoran ‘hot pot’ Szechuan pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan halal.

Pada 2023, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Sebagai rekod, nilai jualan industri francais tempatan meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM30 bilion pada 2021.

Setakat September 2023, sebanyak 1,237 francais tempatan telah berdaftar.

Daripada jumlah itu, 70 jenama francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 80 negara.

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menyerahkan sijil halal bagi Supamala Hotpot kepada pengarah restoran itu, Datuk Azmi Hassan.

Dalam majlis sama, restoran masakan Cina itu juga diberikan sijil Malaysia Book of Records selepas diiktiraf sebagai restoran ‘hot pot’ Szechuan pertama yang diiktiraf halal di Malaysia. - Bernama