KUALA LUMPUR: Sektor perkilangan di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM194.9 bilion melibatkan 1,135 projek dengan 91,930 peluang pekerjaan baharu bagi 2023 sehingga Mac 2024.

Jelas MITI, pelaburan asing menyumbang RM166.6 bilion atau 85.5 peratus, manakala pelaburan tempatan pula memberikan sebanyak RM28.3 bilion atau 14.5 peratus.

“Daripada jumlah projek perkilangan yang diluluskan, sebanyak 445 projek (39.2 peratus) dengan pelaburan asing berjumlah RM37.6 bilion telah direalisasikan dan 29,693 pekerjaan telah diwujudkan,“ kata MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang mahu mengetahui nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang telah berjaya dibawa masuk, diluluskan dan dimeterai pada 2023 sehingga 2024.

Menurut MITI, lima industri utama dalam sektor perkilangan yang mencatatkan jumlah pelaburan asing yang direalisasikan tertinggi adalah elektrikal dan elektronik (RM22.5 bilion), jentera dan kelengkapan (RM9.3 bilion), produk galian bukan logam (RM2.9 bilion), produk plastik (RM1.1 bilion) dan produk logam fabrikasi (RM427.5 juta).

Manakala, lima negeri utama dengan rekod tertinggi dari segi pelaburan asing yang direalisasikan semasa tempoh berkenaan ialah Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka yang merangkumi 96.7 peratus daripada jumlah pelaburan yang direalisasikan dengan nilai pelaburan mencecah RM36.4 bilion.

“Ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan memandangkan projek-projek tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh yang lebih pendek berbanding kelaziman yang mengambil masa di antara 18 sehingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung kepada skala, kompleksiti projek dan keadaan ekonomi semasa,“ katanya.