KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan Selamat Hari Bapa yang disambut hari ini kepada semua insan yang bergelar bapa.

“Buat ayah yang selalu berkorban demi kebahagiaan keluarga. Selamat Hari Bapa. Dikaulah hero kami. Jasamu takkan pernah terbalas.

“Semoga kasih sayang dan pengorbanan insan yang bergelar ayah terus menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat kita semua. Terima kasih untuk segalanya,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa menerusi catatan di Facebook turut mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada bapanya Mustafa Mohd Salleh, juga kepada suaminya Dr Ahmad Adzlan Musa atas tanggungjawab yang sentiasa dilaksanakan dengan kasih dan tabah.

“Peranan besar seorang bapa dalam membentuk kekuatan sesebuah keluarga perlu dihargai. Sebagai anak, saya mengenang jasa abah, Mustafa Mohd Salleh yang membesarkan kami adik beradik dengan nilai hidup yang ikhlas dan jujur.

“Sebagai isteri dan ibu, saya melihat bagaimana suami saya Dr Ahmad Adzlan Musa jalankan peranan sebagai bapa kepada anak-anak kami. Tenang, sabar dan sentiasa ada apabila diperlukan. Peranan bapa bukan hanya terhenti sekadar mencari nafkah, bahkan bapa juga perlu memberi sokongan emosi dan menjadi rakan kongsi dalam membesarkan anak dalam dunia yang semakin mencabar dewasa ini,” katanya.

Turut berkongsi ucapan yang sama adalah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang menyifatkan peranan seorang bapa sebagai ketua keluarga yang memikul tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan anak-anak selain menjadi pelindung, pembimbing serta sumber kekuatan sesebuah keluarga.

“Hari ini kita meraikan insan yang jarang meminta pujian, tetapi sentiasa memberi tanpa syarat dan kita memanggilnya ayah. A father’s love is forever. Grateful today and every day for you. Happy Father’s Day,” katanya di laman Facebook.

Sementara itu Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan menerusi catatan di Facebook turut mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua figura hebat yang bergelar bapa.

“Hari ini, kita raikan wira sejati dalam hidup, ayah, bapa, appa, papa, daddy. Dialah bahu untuk bersandar, walau jarang berkata, kasihnya tidak pernah kurang. Dalam diam dia berkorban, dalam lelah dia tetap bertahan.

“Dalam diam, beliau mendidik dengan teladan. Dalam penat, beliau tetap tersenyum demi keluarga. Tanpa banyak bicara, kasihnya kekal selamanya, dialah hero sebenar dalam hidup kita,” katanya.