• 2025-09-25 01:55 PM

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Selangor, FC Mohamad Faisal Abdul Halim menegaskan jadual padat dilalui skuad Gergasi Merah ketika ini bukan satu masalah besar untuk mereka mencetak kemenangan dalam perlawanan.

Faisal Halim yang meledak dua gol ketika membantu Selangor menewaskan kelab dari Singapura, Tampines Rovers 4-2, pada aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 semalam, berkata perkara itu sebaliknya menuntut kematangan pemain dalam menguruskan diri masing-masing.

“Kita tahu dalam situasi sekarang bukan mudah untuk semua orang dan pasukan...sebagai kapten saya hanya boleh beri kata-kata semangat dan motivasi kepada rakan-rakan. Apa yang penting pasukan Selangor sekarang adalah satu keluarga, macam jurulatih cakap “united”.

“Setiap perlawanan berbeza, kami cuba berikan yang terbaik setiap kali turun padang. Apa saya boleh kata kemenangan malam ini (semalam) adalah hadiah terbaik untuk penyokong dan kelab,” katanya pada sidang media selepas perlawanan bertemu Tampines Rovers di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Mengulas mengenai dua jaringannya, pemain berusia 27 tahun itu menyifatkan kejayaan pasukan lebih utama berbanding pencapaian peribadi.

“...saya berusaha untuk memberi yang terbaik dan dapat mengembalikan semula prestasi merupakan satu anugerah untuk saya, insya-Allah saya akan teruskan dengan sokongan daripada semua,” katanya.

Pada pertembungan semalam, Selangor mendahului 2-0 menerusi jaringan Mohamad Faisal pada minit ke-18 dan Zach Clough pada minit ke-29, namun Tampines Rovers berjaya merapatkan kedudukan selepas Kohya Kazama menyempurnakan penalti pada minit ke-41.

Di babak kedua, Selangor menghukum kealpaan lawan dengan dua gol pantas masing-masing menerusi Mohamad Faisal pada minit ke-52 dan penyudah Alvin Fortes (minit ke-58), sebelum Tampines Rovers cuba bangkit dengan gol kedua disumbangkan Hide Higashikawa pada minit ke-65.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi memuji disiplin dan kekuatan mental yang ditunjukkkan anak buahnya meskipun keletihan akibat jadual padat, yang menyaksikan pasukan itu beraksi empat perlawanan berbeza dalam tempoh hanya 11 hari.

“Saya sangat bangga dengan pemain saya, mereka terlalu letih dan bergelut untuk pulih sepenuhnya. Selepas perlawanan menentang Kuching City FC, kami perlu mencari jalan untuk mengekalkan prestasi dan kembali cergas dengan cepat, lawan pula pasukan yang sangat kuat.

“Saya tahu ini adalah perlawanan antarabangsa, jadi kami tidak boleh berputus asa...tiga mata ini amat penting buat kami. Ini menunjukkan kami mempunyai mental yang kuat dan kemenangan ini amat besar maknanya untuk kami,” kata jurulatih dari Jepun itu.

Selangor kini berada di tangga teratas Kumpulan A, berkongsi empat mata dengan BG Pathum United dari Thailand di tempat kedua dan Tampines ketiga dengan tiga mata - Bernama