BANTING: Kerajaan Selangor merancang menganjurkan pelbagai pameran bagi menggandakan bilangan pengunjung ke Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14, Shah Alam kepada 200,000 orang menjelang penghujung tahun ini.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata jumlah pelawat yang dicatatkan sejak muzium dibuka semula awal tahun ini cukup memberangsangkan.
Beliau menyatakan kerajaan negeri pernah menyasarkan 100,000 pengunjung sebelum ini tetapi jumlah yang dicapai telah melebihi sasaran awal.
Pelbagai pameran telah dirancang untuk tiga bulan terakhir tahun ini termasuk pameran berkaitan Sukan Malaysia sempena Selangor menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun hadapan.
Acara lain yang dirancang ialah festival dan program bermalam di muzium untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Pihaknya juga sedang merancang pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Selangor bagi membentangkan usul pameran berkaitan kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat.
Pameran itu bertujuan mendedahkan unsur karut secara ilmiah bagi kefahaman generasi kini bahawa perkara berkenaan membuka jalan ke arah syirik.
Muzium Sultan Alam Shah sebelum ini ditutup pada 2019 bagi kerja-kerja naik taraf galeri sedia ada.
Muzium tersebut dibuka semula pada Februari tahun ini dengan menawarkan kemasukan percuma kepada semua kategori pengunjung selama tiga bulan. – Bernama