KUALA LUMPUR: Konflik Israel-Iran tidak semestinya memberikan kesan buruk ke atas industri minyak atau mekanisme harga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Haitham Al Ghais serta peserta utama industri minyak di luar persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di sini hari ini.

“Sudah tentu, mereka memantau situasi ini dengan teliti, namun tidak semestinya ia memberikan kesan negatif kepada industri atau mekanisme harga. Kita berharap konflik itu boleh diselesaikan dengan lebih awal,” kata beliau.

Ditanya mengenai kesan daripada konflik itu terhadap industri tenaga, Anwar berkata wujudnya kebimbangan mengenai penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi eksport minyak serta gas asli cecair dan menjadi laluan perdagangan minyak dari rantau Timur Tengah.

“Ini merupakan soal kesan ekonomi,” kata beliau.