KUALA LUMPUR: Semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menunjukkan komitmen kerajaan terhadap cukai yang progresif dan saksama untuk mengukuhkan kedudukan fiskal sambil melindungi golongan yang paling memerlukannya.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ketika kerajaan berusaha untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, cukai progresif menjadi instrumen penting untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
“Pendekatan bersasar itu bertujuan memastikan setiap hari rakyat Malaysia terus menikmati cukai jualan sifar peratus ke atas barangan keperluan dan harian: ayam, beras, sayur-sayuran, minyak masak, ubat-ubatan, contohnya.
“Selain itu, bahan binaan asas kekal tidak dikenakan cukai, dan perniagaan kecil dengan hasil di bawah ambang utama dilindungi melalui pengecualian yang diselaraskan dengan teliti,” katanya menerusi hantaran di laman Linkedin beliau, hari ini.
Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.
Amir Hamzah berkata semakan dan peluasan SST itu mencerminkan sistem cukai yang semakin canggih yang memperlihatkan nilai kemakmuran bersama dan, apa yang paling penting, menghalang jurang kaya-miskin daripada terus melebar.
“Justeru, kami meminta mereka yang mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk menyumbang lebih banyak, itulah sebabnya barangan mewah dan barangan premium yang diimport akan menanggung kadar cukai yang sederhana.
“Pendidikan swasta peringkat tinggi dan perkhidmatan perubatan premium untuk bukan warganegara juga akan dikenakan cukai, memastikan hanya rakyat dan penduduk terkaya menyumbang bahagian saksama mereka kepada asas hasil negara,” katanya.
Amir Hamzah berkata hasil tambahan akan mengalir terus kepada inisiatif seperti bantuan tunai melalui program Sumbangan Tunai Rakyat (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penambahbaikan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.
“Sejak mengumumkan peluasan SST yang dirancang dalam Belanjawan 2025, kami telah mengadakan libat urus dengan kumpulan industri dan pengamal cukai yang membawa kepada pelaksanaan dasar bertanggungjawab dari segi fiskal dan mementingkan sosial.
“Bukan mudah untuk mengimbangi antara meluaskan asas hasil negara sambil melindungi majoriti rakyat Malaysia, tetapi pengumuman terbaharu ini adalah langkah progresif ke arah itu,” katanya.