• 2025-10-09 08:50 PM

SERDANG: Sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza dilaporkan selamat selepas kapal mereka dirampas secara haram oleh rejim Zionis semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia Kamarul Zaman Shaharul Anwar menyatakan kapal tersebut kemudian ditunda ke Pelabuhan Ashdod di Israel.

Beliau memaklumkan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel telah mengesahkan semua 145 aktivis misi berkenaan telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev.

Peguam ADALAH juga telah berjuma bertemu dengan tujuh rakyat Malaysia bagi urusan guaman selanjutnya.

Dua orang lagi dijangka dapat ditemui pada hari ini mengikut waktu Gaza.

Kamarul Zaman menambah peguam ADALAH telah memohon untuk menghadiri semua perbicaraan melibatkan aktivis yang ditahan.

Peguam akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa kepada pihak keluarga.

Beberapa aktivis dilaporkan mengalami keganasan semasa pemintasan kapal mereka berlaku.

Peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka pada awal petang ini mengikut waktu Gaza.

Aktivis-aktivis juga melaporkan barangan peribadi mereka seperti pakaian dan power bank telah dirampas.

Tiada kecederaan serius setakat ini disahkan termasuk kemungkinan berlakunya insiden keganasan terhadap delegasi Malaysia.

Terdapat kemungkinan tiga ahli parlimen Turki yang menyertai flotilla berkenaan akan dihantar pulang sama ada malam ini atau pagi esok.

Perbicaraan tribunal melibatkan semua delegasi yang ditahan termasuk dari Malaysia dijangka diadakan dalam tempoh dua hari lagi.

Mereka dijangka boleh dibebaskan selepas proses perbicaraan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan telah menghubungi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berhubung perkara berkenaan.

Usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menguruskan proses penghantaran pulang rakyat Malaysia.

Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 buah negara.

Mereka menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Zionis.

Pemintasan berlaku semalam ketika kapal berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience termasuk Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin.

Mereka ialah Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi doktor perubatan iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad. – Bernama