KUALA LUMPUR: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci menjadikan jumlah keseluruhan 14 orang setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Allahyarham Eshah Che’, 74, yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan meninggal dunia di Hospital King Abdullah, Makkah pada 5.10 petang semalam waktu Arab Saudi akibat serangan jantung.

Beliau berkata kematian jemaah wanita itu disahkan oleh petugas kesihatan Tabung Haji (TH) Dr Ahmad Nizam Ismail @ Mustafa.

“Doa kita agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan roh orang yang beriman dan dikurniakan ganjaran haji mabrur oleh Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga jemaah haji Malaysia yang telah meninggal dunia di Tanah Suci.