• 2025-10-06 02:21 PM

JOHOR BAHRU: Seorang pemancing terselamat manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik di perairan Selat Johor.

Kejadian berlaku berdekatan Kampung Tebing Runtuh, Iskandar Puteri hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan I Saifulizam Salleh mengesahkan operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan.

Sebanyak tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan sejurus laporan kejadian diterima kira-kira 9 pagi.

Beliau berkata bot yang dinaiki dua lelaki berusia 43 tahun itu terbalik dan karam pada jarak 150 hingga 200 meter dari tebing.

“Pemancing yang terselamat telah berenang ke rumah rakit berdekatan sebelum dibantu nelayan untuk ke darat,“ katanya ketika dihubungi.

Saifulizam berkata operasi menyelamat sedang dilakukan dengan teknik pencarian di permukaan air. – Bernama