KUALA LUMPUR: Sisi pendidikan manusiawi khususnya berkenaan akses kepada pendidikan antara tumpuan utama Kementerian Pendidikan (KPM) sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan MADANI, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“KPM adalah pasukan pendidikan manusiawi Malaysia MADANI jadi apa yang cuba kita angkat dalam pendidikan manusiawi ini adalah soal akses, maknanya kita tidak mahu ada lagi anak yang tercicir dalam soal pendidikan.

“Penting untuk kita lihat beberapa aspek dalam pendidikan manusiawi, penubuhan-penubuhan sekolah yang dikhususkan bagi memastikan tiada ruang untuk mengatakan pendidikan (anak) mereka dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

Fadhlina berkata usaha KPM dalam memastikan akses kepada pendidikan termasuk menerusi inisiatif Sekolah Dalam Hospital bagi memberikan peluang pelajar uzur menyertai sesi pembelajaran serta pelajar Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney juga mendapat akses pendidikan walaupun berada dalam pusat korektif dan menjalani hukuman.

Di samping akses kepada pembelajaran, beliau berkata antara tujuh teras utama ditetapkan KPM dalam menerajui sistem pendidikan negara adalah aspek kebajikan guru, menaik taraf sekolah daif, penekanan aspek karamah insaniah (konsep yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti), isu kemiskinan multidimensional dan pendidikan digital.

“Mengenai karamah insaniah, saya fikir ini akan menjadi antara perkara yang akan kita angkat dalam konteks mencipta dan memberikan tumpuan kepada keunggulan peribadi dan potensi anak-anak.

“Begitu juga dengan teras-teras lain, (pengurangan) beban guru juga akan kita teruskan...kita harap kita dapat terus memfokuskan kepada pencapaian-pencapaian guru dalam konteks memastikan mutu pendidikan terus diangkat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tumpuan KPM tahun depan adalah berhubung mutu pendidikan justeru beberapa siri libat urus dengan pihak berkepentingan bakal diadakan, bagi membincangkan masa depan pendidikan negara termasuk kurikulum persekolahan 2027, disusuli jerayawara ke negeri-negeri.

Mengenai usaha KPM dalam penyelenggaraan tandas, Fadhlina berkata projek itu secara tidak langsung dapat mendidik sikap kebertanggungjawaban anak-anak terhadap fasiliti, peringatan mengenai amalan kebersihan dan kemiskinan haid.

Beliau berkata projek itu akan diteruskan di sekolah bantuan kerajaan tahun depan secara berfasa selepas selesai dilaksanakan di kira-kira 8,000 sekolah di bawah KPM.–Bernama