IPOH: Kerajaan negeri Perak menyerahkan siasatan lanjut mengenai kejadian letupan dan gegaran yang berlaku pada 18 Jun lalu kepada pihak polis. Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, siasatan awal telah dilakukan tetapi belum menemui punca atau bukti khusus berkaitan insiden tersebut.
“Siasatan diteruskan tapi belum ditemui secara spesifik jadi kita tidak boleh sebarang komen apa lagi... dan (kini) polis yang membuat siasatan sebab ia berkaitan dengan keselamatan negeri,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Kulinari Antarabangsa 2025 di Bulatan Azlan Shah hari ini.
Beliau menegaskan hanya polis yang akan menjalankan siasatan, dan laporan akhir akan diserahkan kepada kerajaan negeri. Kejadian ini merupakan kali kedua berlaku di Perak, selain turut dilaporkan di Selangor.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim, memaklumkan bahawa letupan misteri seumpama ini telah dilaporkan di seluruh dunia tanpa penjelasan yang jelas.
“Bunyi ini digambarkan dari arah langit dengan letupan yang sederhana hingga kuat dan kadangkala menggegarkan tingkap dan dinding bangunan,” menurut kenyataan JMG Perak.
Letupan terbaru di Ipoh berlaku pada 18 Jun sekitar 10.30 pagi dan disahkan bukan berpunca daripada aktiviti kuari, ujian bom, atau sonic boom jet. Kawasan terjejas meliputi Chemor, Klebang, Meru, Tambun, dan Gunung Rapat.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, sebelum ini menyatakan akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca kejadian. Insiden serupa pernah berlaku di Perak pada Oktober 2024 dan Jun 2025.