KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini melakar sejarah apabila buat julung kalinya ikrar Rukun Negara dilafazkan Ahli-ahli Parlimen sejurus persidangan bermula.

Bacaan ikrar tersebut diketuai Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perpaduan Negara susulan kelulusan Jemaah Menteri pada 25 Julai tahun lepas supaya Rukun Negara dilafazkan secara penuh di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan sembilan akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang lepas telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia merangkumi Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023, Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2023, Akta Perbekalan 2024, Akta Kewangan (No. 2) 2023, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Selain itu, Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023, Akta Syarikat (Pindaan) 2023, Akta Keselamatan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan Akta Makanan (Pindaan) 2023.

Johari turut mengingatkan setiap ahli Dewan Rakyat supaya mempamerkan kematangan semasa berucap atau berbahas sambil menyatakan beliau dan timbalannya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 semalam memberikan “lampu hijau” kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan penggantungan selama 14 hari terhadap mereka yang melampaui batas ketika bersidang.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia pada 21 Feb lepas.

Johari memaklumkan Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak, Ahli Parlimen Kota Samarahan dan anggota pentadbiran persekutuan di beberapa kementerian.

“Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham serta ditempatkan dalam kalangan orang soleh lagi beriman,” katanya.

Selain itu, Johari turut mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 8 Dis tahun lepas setelah memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman pada 2 Dis. - Bernama