• 2025-07-01 02:31 PM

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara Siti Zulaikha Muhammad Azmi berharap kehadiran Iskandar Zulkarnain Zainuddin selaku ketua jurulatih perseorangan wanita dapat memperkukuh disiplin dan karakter para pemain.

Siti Zulaikha yang kini giat melakukan persiapan menjelang Kejohanan Universiti Dunia (Universiade) di Rhine-Ruhr, Jerman bulan ini mengakui teruja dengan pelantikan bekas pemain perseorangan lelaki negara itu dan yakin pengalamannya melatih pasukan Ireland sejak 2022 pasti memberi impak positif kepada pasukan.

“Saya rasa teruja kerana beliau pernah menjadi jurulatih di luar negara, jadi saya rasa banyak yang boleh kami pelajari.

“Sebagai pemain, saya rasa beliau bagus dan sebagai jurulatih pun saya yakin beliau ada banyak pengalaman. Saya harap kehadirannya boleh membantu kami dari aspek disiplin dan membina karakter dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.

Mengulas peluang pingat dalam penampilan sulungnya di kejohanan itu, Siti Zulaikha berkata fokusnya kini kepada prestasi sendiri memandangkan undian pemain belum dikeluarkan.

“Saya pun tak tahu lagi siapa yang menjadi lawan, jadi tak boleh cakap apa-apa,” katanya sambil mengakui pemain China dijangka menjadi antara pencabar utama seperti kebiasaan di kejohanan antarabangsa.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengumumkan Iskandar Zulkarnain, 33, akan memulakan tugas sebagai jurulatih sektor perseorangan pada 1 Okt ini.