Your Title

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Pahang dan Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu menurunan malam Khamis (Feb 20).

Di Pahang, Pengarah Pertahanan Awam Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata jumlah mangsa di negeri itu menurun kepada 49 orang daripada 12 keluarga sehingga 8 malam ini dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, Temerloh, yang dibuka hari Khamis.

“Banjir di sekitar Karak yang surut telah mengalir turun ke Sungai Semantan dan melimpah ke kawasan Lanchang menyebabkan berlakunya banjir dan penduduk berhampiran tebing sungai terpaksa dipindahkan ke SK Lanchang,” katanya kepada Bernama.

Katanya sebuah PPS di daerah Bentong yang menempatkan 140 mangsa daripada 47 keluarga ditutup petang tadi selepas mangsa dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.

Di Negeri Sembilan, mangsa banjir menurun kepada 84 mangsa daripada 27 keluarga berbanding 101 mangsa (27 keluarga) pada pagi Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata kesemua mangsa merupakan penduduk Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru, Taman Bandar Tinggi dan Kampung Sepri.

“Keadaan cuaca pada masa ini baik. Air juga surut, kerja-kerja pasca pembersihan mencapai 95 peratus. Saya jangkakan esok semua mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari Khamis.