PUTRAJAYA: Pemain skuasy wanita negara S Sivasangari menjadi atlet terbaru menyertai program Road to Gold (RTG) sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata selain Sivasangari, beberapa atlet menyertai RTG seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) dan Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Turut setuju menyertai pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat Mohd Aniq Kasdan.

Bagaimanapun, gandingan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (beregu lelaki) masih belum memberikan jawapan sama berhubung penyertaan mereka.

“Keempat-empat pemain sebelum ini sudah adakan perbincangan bersama koordinator RTG Datuk Stuart Ramalinggam. Mereka memerlukan perbincangan akhir untuk kita selaraskan perkara dibangkitkan mereka sebelum ini,” katanya pada sidang media RTG di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Beliau turut memaklumkan trio memanah recurve wanita negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Fazil dan Ng Eain Yow dari skuasy bersetuju untuk menyertai Fast Track RTG.

Hannah berkata berdasarkan pertemuan dengan persatuan sukan terlibat RTG hari ini, semua permohonan adalah melibatkan pendedahan kejohanan serta latihan tambahan untuk memeprkasa prestasi atlet.

“Harapan kita adalah semua atlet ini akan kekal dalam senarai RTG dan terus meningkat kerana sekarang adalah ranking 10 terbaik.

“Akan tetapi menjelang 2028, kita akan melihat empat atau lima terbaik, baru ada peluang dapatkan pingat emas,” katanya.

Sementara itu, Sivasangari berkata program RTG akan membantu meningkatkan prestasinya dalam misi melayakkan diri ke LA28 selain membantu mengurangkan beban beliau yang menjalani latihan di luar negara.

“Penyertaan dalam program ini amat penting bagi saya kerana ia memberikan sokongan kewangan, terutamanya kerana saya berpangkalan di luar negara dan sedang membuat persiapan ke Olimpik.

“Semua pemain sedang berusaha ke arah Olimpik dan berada dalam program ini memberi kelebihan besar kepada kami untuk mendapatkan perkara yang benar-benar kami perlukan,” katanya.

Berdasarkan rekod, atlet berusia 26 tahun itu dipilih selepas berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selain beberapa pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa.