KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) yang dibangunkan bagi mengawal selia aktiviti perlombongan bahan itu, mampu menangani impak kepada alam sekitar dan ekosistem.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementerian berkenaan telah membangunkan SOP perlombongan NREE bagi memastikan aktiviti perlombongan bahan itu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan, dan telah dipersetujui untuk diguna pakai Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) pada 2 Okt lepas.
Beliau berkata mesyuarat JKPPIM yang dipengerusikan beliau itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua Menteri dan exco-exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan mineral di negeri masing-masing.
“SOP tersebut menyediakan prosedur yang teratur bagi aktiviti di peringkat praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan... SOP ini telah dibangunkan berdasarkan SOP perlombongan NRREE di projek perintis perlombongan di Mukim Kenering, Hulu Perak.
“Berdasarkan kepada pengauditan yang dijalankan, boleh disimpulkan SOP ini dengan penguatkuasaan tegas mampu mengawal selia perlombongan NRREE dengan baik dan menangani impak kepada sosial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai perancangan kementerian dalam memastikan industri perlombongan NRREE tanpa meninggalkan kesan terhadap kelestarian alam sekitar dan impak sosial kepada penduduk.
Nik Nazmi berkata antara SOP itu adalah penetapan perlombongan NREE daripada ‘ion adsorption clay’ untuk menghasilkan ‘rare-earth carbonate’ tidak boleh melibatkan penghasilan bahan radioaktif dan penggunaan kaedah perlombongan secara in-situ leeching (ISL) yang tidak melibatkan pembukaan kawasan besar, lazimnya berlaku perlombongan terbuka aktiviti perlombongan mineral lain.
Beliau berkata ini termasuk penetapan kaedah pemantauan yang teratur dan berkala termasuk pembinaan telaga pemantauan bagi mengesan sebarang pencemaran kepada sumber air bawah tanah serta keperluan untuk penyediaan kajian kesan kepada alam sekeliling (EIA) sebelum kelulusan bagi menjalankan aktiviti perlombongan diberikan.
Kementerian juga, katanya akan meneliti keperluan daripada aspek perundangan sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Beliau berkata kementerian turut akan meneliti tatacara pelaksanaan pengauditan pematuhan kendiri ke arah industri perlombongan yang bertanggungjawab dan mampan. - Bernama