• 2025-07-22 10:16 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keseragaman pelaksanaan perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah yang membuang sampah di tempat awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata SOP merangkumi prosedur penguatkuasaan itu akan dikeluarkan selaras dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

“Pegawai PBT perlu diberi pembangunan kapasiti dalam penguatkuasaan dan pemantauan terutamanya melibatkan pesalah dalam kalangan kanak-kanak,“ katanya.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas lapan Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

Peruntukan Utama RUU

RUU itu memperuntukkan di bawah Subseksyen 104A(1), memberikan kuasa kepada mahkamah memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan pelanggaran undang-undang kecil di bawah Akta 171 untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama tidak lebih daripada 12 jam sebagai tambahan kepada denda.

Subseksyen 104A(3) pula mengkehendaki mana-mana pegawai PBT yang diberi kuasa secara bertulis untuk menentukan masa dan tempat bagi melaksanakan khidmat masyarakat selepas perintah hukuman dibuat.

Bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun, peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) akan terpakai. - Bernama