KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi projek pembangunan bernilai RM1.2 bilion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan pada 8 malam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan direman selama dua hari sehingga esok (17 Mei),” katanya kepada Bernama hari ini.

Sumber berkata, suspek dipercayai menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman daripada kerajaan dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima dari MOF kepada syarikat kontraktor dan perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti mana yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan dan perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 2019 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM menahan reman dua orang pegawai kanan sebuah badan berkanun atas kes sama.