SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua individu termasuk seorang pembantu penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000 daripada seorang pemilik kedai runcit pada 2020.

Sumber berkata suspek pertama yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam bersama suspek kedua dipercayai meminta rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kedai runcit terbabit di bawah Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menjual rokok seludup.

Katanya kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 30-an ditahan pada kira-kira 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok pada 8.30 pagi untuk permohonan reman. - Bernama