KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG.OG) menutup saingan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPLMY) musim ke-15 dengan bergaya selepas menewaskan Homebois 4-0 pada aksi Best of Seven Grand Final hari ini.
Lebih membanggakan, ia adalah kemenangan hatrik dicipta SRG.OG sejak menjuarai saingan pada musim ke-13.
Pada aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, anak buah Michael Angelo Bocado (Arcadia) bermula dengan langkah kanan dalam perlawanan pertama apabila mendominasi sepenuhnya permainan untuk melakar kemenangan dalam tempoh 14 minit.
SRG meneruskan momentum cemerlang itu pada perlawanan kedua hingga keempat untuk mempertahankan gelaran juara buat kali ketiga.
Menurut Arcadia, kemenangan hari ini adalah hasil usaha bersama ahli pasukan lain yang sanggup mengorbankan cuti mereka pada minggu lepas bagi mempersiapkan diri menghadapi Grand Final.
“Saya berterima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan, kerana sanggup mengorbankan cuti mereka minggu lepas demi memastikan matlamat kita untuk menang tercapai,” katanya.