PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan 12 kes pendakwaan berkaitan kesalahan elektrik dan gas berpaip didaftarkan di mahkamah melibatkan denda terkumpul RM200,140 pada tahun ini.
Antara kesalahan itu ialah mencuri elektrik, menjalankan pengubahsuaian pemasangan tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kematian, menyimpan kelengkapan elektrik tidak berlabel dengan niat menjual dan menjalankan aktiviti penggunaan gas tanpa lesen.
ST memandang serius kesalahan seperti ini yang bukan sahaja memberi kesan kepada industri tenaga dari segi nilai, bahkan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan gas berpaip serta keselamatan awam.
ST berharap tindakan tegas ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk mematuhi undang-undang berkaitan elektrik dan gas berpaip.
Suruhanjaya itu memaklumkan sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara, ST sentiasa menguatkuasakan peruntukan undang-undang di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501).
Kes terkini melibatkan pendakwaan terhadap tiga syarikat di Mahkamah Sesyen di Labuan serta Kota Kinabalu, Sabah pada 26 dan 27 Ogos atas kesalahan mencuri elektrik di bawah subseksyen 37(3)(e) Akta 447.
LB Gases Hardware Sdn Bhd didenda RM50,000, Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd (RM55,000) dan Kim Kian Enterprise (RM50,000) dengan semua syarikat membayar denda itu.
ST mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kesalahan penggunaan elektrik dan gas berpaip termasuk mencuri elektrik melalui sistem eAduan ST www.st.gov.my. – Bernama