• 2025-09-28 05:07 PM

BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menyalurkan peruntukan berjumlah RM65,000 bagi menambah baik kemudahan Masjid Taman Alma Jaya.

Sim yang juga Menteri Sumber Manusia berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi mengubah suai ruang tandas lama kepada sebuah dewan mesyuarat dan serbaguna.

“Dewan ini bakal dimanfaatkan sebagai ruang pertemuan, aktiviti komuniti serta pelaksanaan program keagamaan oleh anak-anak kariah,“ katanya semasa lawatan rasmi ke masjid berusia 25 tahun itu.

Beliau berkata pihaknya turut menambah peruntukan RM15,000 manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok Lee Khai Loon menyumbang RM3,000 bagi melengkapkan dewan itu.

Peruntukan tambahan tersebut digunakan untuk membeli perabot, sistem penghawa dingin dan sistem audio dewan serbaguna tersebut.

Masjid Taman Alma Jaya yang memberi khidmat kepada lebih 20,000 penduduk Islam di 35 kawasan perumahan sekitar juga menerima kelulusan peruntukan RM2.5 juta.

Peruntukan besar tersebut diperoleh daripada kerajaan Persekutuan bagi kerja penukaran bumbung masjid yang uzur.

Menurut Sim, usaha itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menaik taraf kemudahan institusi keagamaan.

Beliau menekankan bahawa penambahbaikan ini adalah untuk keselesaan jemaah dan kesejahteraan masyarakat setempat. – Bernama