• 2025-07-04 02:57 PM

PEMAIN beregu campuran negara Cheng Su Yin sedia menyahut cabaran ketua jurulatih Nova Widianto untuk menjulang sekurang-kurangnya satu gelaran tahun ini.

Su Ying berkata giat menjalani latihan bersama pasangan Hoo Pang Ron bagi merealisasikan impian itu selepas menempuh musim yang agak hambar setakat ini.

“Jika dapat menang gelaran sudah pasti berbaloi. Kami memang sedang mencuba dan masih bekerja keras menjalani latihan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Su Yin mengakui prestasi mengecewakan dan kecederaan dialami sebelum ini menghantui dirinya sehingga sering tersingkir awal daripada kejohanan disertai sepanjang tahun ini.

Selepas muncul naib juara Masters China 2024 November lepas, Pang Ron-Su Yin bergelut untuk mengekalkan momentum tersebut apabila hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali daripada sembilan kejohanan tahun ini.

Mac lepas, Su Yin mengalami kecederaan buku lali apabila tergelincir di tangga selepas mara ke suku akhir Masters Orleans 2025 di Perancis.

Pasangan ke-13 dunia itu dijadual kembali beraksi dalam tiga kejohanan penting iaitu Terbuka Jepun 2025 (15 hingga 20 Julai), Terbuka China 2025 (22 hingga 27 Julai) dan Terbuka Macau 2025 (29 Julai hingga 3 Ogos).

Sejak digandingkan pada 2023, Pang Ron-Su Yin hanya sekali menjuarai kejohanan iaitu Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 di Ipoh, Perak.

Baru-baru ini, Nova menyatakan harapan untuk melihat anak buahnya itu meraih sekurang-kurangnya satu gelaran sebelum Kejohanan Dunia 2025 di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Sementara itu, Nova berkata pasangan tersebut masih bergelut untuk menepati jangkaan tinggi yang diletakkan kepada mereka selepas berjaya menembusi kelompok 15 beregu campuran terbaik dunia ketika ini.

“Sekarang mereka sudah berada dalam kelompok 15 teratas dan ekspektasinya tinggi. Jika mental tidak kuat, mereka akan mudah tertekan.

“Mereka memang memiliki kualiti permainan, tetapi untuk menjadi juara, ia bukan sekadar bergantung pada kualiti. Mental juga perlu kuat. Itu yang mereka perlu perbaiki lagi,” katanya.