Your Title

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menanggung sekitar RM7 bilion subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat.

Beliau berkata Kerajaan MADANI juga akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan Ops Tiris yang berlangsung sejak 1 Mac 2023 bagi membanteras permasalahan penyelewengan diesel bersubsidi yang memanfaatkan pihak tidak layak.

Sehingga 31 Dis lepas 6.44 juta liter diesel dianggarkan bernilai RM14.12 juta telah dirampas.

Anwar berkata hasil dan perkembangan baik ops itu, Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakupi barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram (kg), petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

“Sehingga 14 Jun 2024, sejumlah RM12.96 juta nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng.

Selain itu katanya kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak kerajaan MADANI mengambil alih tampuk kepimpinan, walaupun harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890 per tan metrik.

Anwar berkata sebagai contoh, dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215 per tan metrik dan April RM4,256 per tan metrik, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35.

Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.

Beliau berkata penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Amir Hamzah berkata untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Bagaimanapun penyasaran subsidi itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.