• 2025-08-21 10:34 AM

JAKARTA: Walaupun berkomunikasi melalui jurubahasa isyarat, semangat adik-beradik atlet pekak negara, Mohammad Faza Firdaus Ghazali, 29, dan adiknya, Nur Ain Shafira Ghazali, 24, jelas terpancar apabila mereka bertekad membuktikan bahawa stereotaip tidak akan mengekang kemampuan mereka di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025.

Anak kelahiran Kelantan itu mahu menjadikan setiap sentuhan bola di padang futsal sebagai bukti keazaman bahawa kekurangan deria tidak pernah menghalang tekad untuk mengangkat nama Malaysia di podium kejayaan.

“Pertalian darah ini membuatkan kami memang suka bermain futsal. Saya dengan adik memang berharap menang emas untuk sukan futsal nanti. Kami mahu mengangkat imej Malaysia dan kerajaan.

“Kami nak tunjuk kepada semua rakyat Malaysia bahawa orang pekak memang berbeza daripada normal, tetapi kami mampu bersaing setaraf dengan mereka,” kata Mohammad Faza Firdaus kepada Bernama di sini, hari ini.

“Pertalian darah ini membuatkan kami memang suka bermain futsal. Saya dengan adik memang berharap menang emas untuk sukan futsal nanti. Kami mahu mengangkat imej Malaysia dan kerajaan.

“Kami nak tunjuk kepada semua rakyat Malaysia bahawa orang pekak memang berbeza daripada normal, tetapi kami mampu bersaing setaraf dengan mereka,” kata Mohammad Faza Firdaus kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohammad Faza, yang juga atlet sepenuh masa, teruja untuk membuat penampilan sulung dalam temasya ini sambil menerima nasihat daripada adiknya yang pernah meraih tempat ketiga pada edisi tiga tahun lalu.

Bagi beliau, bakat semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan, dorongan dan motivasi berterusan antara satu sama lain yang menjadi nadi kejayaan serta sumber semangat untuk terus berusaha mencapai prestasi terbaik di pentas antarabangsa.

“Saya selalu tengok dia berlatih. Bila dia jaringkan gol, saya sebagai abang tetap sokong, jerit ‘GOAL!’. Memang sentiasa beri sokongan kepada adik saya,” katanya.

Bagi Nur Ain Shafira pula, futsal bukan sekadar sukan, tetapi medan untuk menonjolkan bakat, disiplin dan kesungguhan yang dipupuk sejak kecil.

Selain beraksi di padang, beliau juga bekerja sambil menyertai kelab sosial bola sepak bersama pasukan orang normal di Pulau Pinang, membuktikan bahawa kekurangan pendengaran bukan penghalang untuk bergaul, bersaing dan berkembang dalam persekitaran lebih mencabar.

“Saya mula sertai kejohanan futsal secara serius pada usia 21 tahun. Antara galakan yang hadir semestinya daripada ayah, sebab ayah kami juga pemain bola sepak sosial,” katanya.

Malaysia menyasarkan 16 pingat emas iaitu enam menerusi olahraga, lima dalam tenpin boling, dua badminton, dua catur dan satu futsal.

Sukan SEA Pekak 2025 akan berlangsung secara rasmi selepas upacara pembukaan malam ini hingga 26 Ogos di Jakarta- BERNAMA