Your Title

SHAH ALAM: Pulau Pinang berjaya meraih pingat emas pertama pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menerusi atlet karate Yong Kojiro, yang mengungguli perlawanan akhir acara kata individu lelaki petang semalam.

Atlet berusia 21 tahun itu, mempamerkan aksi bertenaga untuk mengutip 25.14 mata selepas menundukkan pencabar dari Pahang Abdul Rahim Shah Zulfaqqar (24.96 mata), pada aksi di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Pemegang pingat gangsa dalam acara sama pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 itu berkata beliau sudah menjangka mampu menggenggam emas berdasarkan kepada pengalamannya.

“Segalanya berjalan lancar seperti yang saya bayangkan dan lawan juga seorang yang kompetitif. Saya yakin untuk mendapat pingat emas kerana hasil pengorbanan dan usaha keras yang sudah saya tunjukkan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini semalam

Mengulas lanjut, Kajiro berkata kejayaan yang diraih itu merupakan penutup terbaik buatnya dalam temasya itu selepas edisi kali ini bakal menjadi penampilan terakhirnya.

Dalam pada itu, atlet Johor Wong Lih Kwang dan wakil Perak Hor Jie Shen terpaksa berpuas hati dengan gangsa, selepas menewaskan lawan masing-masing.

Sementara itu, acara kata berpasukan lelaki diungguli pasukan Sabah yang mengecewakan wakil Pahang pada satu lagi aksi akhir.

Trio yang meraih pingat emas itu dibarisi Clevelence Carlos, Mohd Azhad Haziq Henry dan Mohd Haznil Henry, selepas memperoleh 24.82 mata sementara Pahang diwakili Abdul Rahim, Muhammad Afiq Aiman Mohd Asrul dan Nasran Nazhan Shapudeain, mengutip 23.94 mata.

Gangsa acara itu dimenangi kontinjen Pulau Pinang diwakili Ak Ahmad Munib Aiman, Awang Muhammad Nazirul Johari dan Khairul Syafiq Khairul Ariffin dan Brunei yang dibarisi Abdul Rahim Shah Zulfaqqar, Muhammad Syafiq Aiman Mohd Arsul dan Nasran Nazhan Shaipudeain. - Bernama