• 2025-08-26 12:02 PM

KUALA LUMPUR: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah diberikan sambutan negara di Istana Negara hari ini, sempena lawatan negara ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.

Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah pada 10 pagi diringi Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah, disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta beberapa anggota Jemaah Menteri.

Istiadat Sambutan Negara yang berlangsung di Anjung Utama Istana Negara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum disusuli dengan tembakan meriam 21 das.

Selepas istiadat itu, Sultan Brunei berkenan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong yang antara lain menyentuh mengenai hubungan dua hala erat antara Malaysia dan Brunei yang telah lama terjalin.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya meraikan baginda bersama delegasi kerajaan Brunei dalam Majlis Jamuan Negara.

Sultan Hassanal Bolkiah, yang tiba di Malaysia semalam akan mengadakan lawatan negara sehingga Khamis ini atas undangan Sultan Ibrahim.

Lawatan negara ini merupakan lawatan ketiga oleh ketua negara asing sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, selepas lawatan Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Indonesia.

Esok, Sultan Hassanal Bolkiah dijadual menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia–Brunei (ALC) ke-26, selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang menjadi wadah untuk kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Lawatan negara serta mesyuarat tahunan itu mencerminkan hubungan istimewa yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei Darussalam, sekali gus menegaskan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik demi kemakmuran bersama serta kesejahteraan rakyat.

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlan dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 pula, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta). - Bernama