IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali 2024 Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim.

Ketibaan baginda pada 3.30 petang disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Baginda berdua kemudian berkenan menyertai majlis santapan dengan diiringi persembahan tarian tradisional India antaranya tarian Merak, Bharathanatyam dan nyanyian pada sambutan yang dihadiri kira-kira 8,000 pengunjung itu.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 67 anak-anak yatim dari Pusat Penjagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Gembala Baik, Pusat Jagaan Vision Home, Pusat Jagaan Pelangi Perak dan Yayasan Amanah An-Anur Maisarah.

Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata majlis berkenaan sekali lagi menyerlahkan keunikan negeri Perak sebagai ‘Mini Malaysia’, menyaksikan rakyat berbilang etnik dan budaya sentiasa teguh menyulam semangat kebersamaan, meraikan perbezaan, dan memperkukuh jalinan keharmonian.

“Pun demikian, dalam waktu-waktu terbelakang ini, keamanan dan keharmonian rakyat berbilang kaum sering sahaja dibayangi sentimen perkauman dan agama, sehingga hubungan dalam masyarakat sentiasa diasak supaya terbungkam jatuh dalam jurang perpecahan dan permusuhan.

“Mutakhir ini, naratif kebencian sewenang-wenang ditiup dengan menyalakan api permusuhan. Isu yang berlegar dalam masyarakat dipolemikkan mengikut neraca kaum dan agama demi mengejar laba politik yang akhirnya menggugat keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani mengajak rakyat Perak sederap dan senada, menyuburkan nilai-nilai kebaikan dengan menggembleng usaha membina perpaduan.

“Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama membina kerukunan selain berusaha mengeratkan persefahaman dan mengukuhkan persaudaraan,” katanya.