IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan golongan belia diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid semua daerah di Perak esok bersempena sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada Rabu (15 Mei).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata ia bagi menghargai serta mengiktiraf peranan penting belia kepada negara.
“Baginda telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 17 Mei bertemakan ‘Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perak telah mengemukakan 70 nama pemimpin belia kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat sembah perkenan Sultan Nazrin bagi membaca khutbah itu.
Menurutnya pemimpin belia tersebut antaranya Muhammad Syukri Alimar Shidi daripada Kelab Belia Abrar Sungai Rokam yang akan membaca khutbah Jumaat di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah I, Kampung Sungai Rokam yang boleh memuatkan 2,000 jemaah.
Selain itu Mohd Shahril Umat dari Kelab Belia Saerah Pengkalan Hulu yang akan membaca khutbah di Masjid Jamek Pengkalan Hulu dan Noor Ayman Ahamad dari GB4B Bagan Serai yang akan membaca khutbah di Masjid Daerah Kerian, Parit Buntar.