• 2025-07-26 10:30 PM

SHAH ALAM: Kutipan sumbangan bagi Kempen Selamatkan Harimau Malaya telah mencecah RM2.1 juta sejak dilancarkan pada 2021. Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan bahawa dana ini diperoleh melalui kerjasama dengan rakan strategik, termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Setakat ini, FAM telah menyumbang kira-kira RM200,000 kepada Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya melalui hasil jualan tiket perlawanan bola sepak. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak FAM,“ kata Johari dalam ucapan sempena Majlis Hari Harimau Sedunia Peringkat Kebangsaan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.

Johari turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju melaksanakan tindakan strategik luar biasa bagi konservasi Harimau Malaya selama 10 tahun (2021-2030). Tindakan ini melibatkan tiga pendekatan utama: menghentikan penurunan populasi, meningkatkan tadbir urus pemuliharaan, dan memperkasa inisiatif kelangsungan hidup spesies tersebut.

“Hasil pemantauan oleh Perhilitan dengan kerjasama NGO menunjukkan populasi Harimau Malaya semakin meningkat. Ini membuktikan usaha pemuliharaan habitat melalui skim akreditasi dan pengiktirafan kawasan berkepentingan antarabangsa berjaya,“ jelasnya.

Selain itu, Malaysia sedang berusaha mendapatkan akreditasi Conservation Assured Tiger Standards untuk Taman Negara di Pahang, Terengganu, dan Kelantan, serta Taman Negara Endau Rompin. Perhilitan juga berusaha mendapatkan pengiktirafan Taman Warisan ASEAN bagi Rezab Hidupan Liar Tengku Hassanal. - Bernama