BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai mencuri sebuah kereta selepas mengejarnya sejauh enam kilometer dari Taman Bandaraya hingga kawasan Sungai Lembu, Machang Bubok, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata sebelum itu anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Bukit Mertajam telah menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 10.15 pagi memaklumkan sebuah kereta jenis Datsun 120Y telah dicuri di kawasan sebuah kompleks beli-belah berdekatan.

“Bertindak atas maklumat itu, anggota kereta peronda Balai Polis Bukit Mertajam berjaya mengesan kenderaan terbabit di kawasan Taman Bandaraya.

“Semasa anggota kereta peronda menghampiri kereta itu, pemandunya (suspek) bertindak memecut kenderaan itu dan enggan memberhentikan kenderaan seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit bersama kereta itu kemudian berjaya ditahan di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok dan kejadian mengakibatkan kereta peronda polis mengalami kerosakan di bahagian hadapan akibat perlanggaran dengan kereta dipandu suspek.

Helmi berkata siasatan mendapati lelaki berusia lewat 20-an itu memiliki 12 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah serta individu dikehendaki polis.

Beliau berkata lelaki itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.

Baru-baru ini tular dua rakaman video berdurasi dua minit 20 saat menerusi laman sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek kes curi kereta ditangkap dalam kawasan seperti ladang kelapa sawit.