• 2025-07-06 09:17 PM

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan berusia 25 tahun yang disyaki terlibat dalam kes liwat dan pencabulan terhadap tiga kanak-kanak serta seorang remaja lelaki di Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini dipercayai masih berada di Malaysia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan suspek belum ditangkap dan operasi pengesanan masih dijalankan.

Menurut kenyataan polis, jumlah mangsa setakat ini kekal empat orang, kebanyakannya pelajar sekolah atau kanak-kanak.

“Modus operandi suspek adalah dengan memanggil mangsa, menyuruh mereka mengambil barang di lokasi tertentu sebelum memeluk dari belakang dan mencekik jika mangsa melawan,“ jelas Mohd Iqbal.

Suspek juga didakwa menggunakan helah seperti meminta bantuan membuat tempahan e-hailing atau bertanyakan arah.

“Apabila mangsa leka, suspek akan menumbuk, menarik, dan membawa mereka ke tempat terpencil untuk melakukan perbuatan liwat,“ tambahnya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.