KAJANG: Suspek yang memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee di Shah Alam baru-baru ini dipercayai tidak hanya menyasarkan kediaman atlet itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan siasatan pihaknya, suspek turut mengintai beberapa rumah lain untuk dimasuki sebelum memilih untuk merompak rumah Ahmad Khuzaimi.

“Rumahnya bukan menjadi target sebab pemiliknya pemain bola sepak, ia hanya kebetulan sahaja. Tidak ada kena-mengena dengan isu pemilik rumah (yang merupakan) pemain bola sepak.

“Suspek fikir rumah pemain bola sepak terbabit kurang risiko berbanding rumah lain apabila dilihat tiada sesiapa di dalam rumah, maka itu sebab mereka pecah masuk kediaman terbabit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Taman Angkat Aman Wanita (AMANITA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor 2024 di Taman Rakan, Kajang, hari ini.

Pada 22 Mei lepas, rumah Khuzaimi dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Ekoran kejadian itu, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.