KOTA BHARU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada polis berakhir dengan penemuan tujuh biji pil disyaki dadah jenis pil yaba selepas dia terjatuh bersama motosikalnya di tepi jalan berhampiran Masjid Mukim Lela Jasa, Sungai Rek, Kuala Krai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Mohd Maizan Mustaffa berkata kejadian berlaku ketika sepasukan polis cuba menghampiri suspek sebelum dia bertindak memecut motosikal dan bergesel dengan bahagian hadapan kanan kenderaan pasukan serbuan.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu, suspek telah terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian muka serta tangan kiri.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek membawa kepada penemuan tujuh biji pil disyaki dadah jenis pil yaba dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif metamfetamina.
“Suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Maizan berkata suspek direman bermula hari ini hingga Sabtu bagi siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952