SHAH ALAM: Suspek utama dalam kes pembunuhan seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya dipercayai telah mengeluarkan wang sebanyak RM200 menggunakan kad bank mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek lelaki tempatan berusia 20-an itu tidak bekerja dan dipercayai bermalam di rumah mangsa selepas diberikan kunci oleh kekasihnya, yang juga rakan serumah mangsa.
“Rakan serumah mangsa tiada di rumah semasa kejadian, termasuk kekasih suspek. Kami percaya suspek mengambil kesempatan ke atas mangsa yang tinggal bersendirian,“ kata Hussein dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.
Suspek didakwa memukul mangsa menggunakan objek sehingga menyebabkan kematian pada malam 24 Jun lepas.
Selepas kejadian, suspek mencuri kad bank, telefon bimbit, dan komputer riba mangsa.
Dua peralatan elektronik itu dilupuskan suspek, tetapi sebahagian barang kes berjaya ditemui polis.
Empat individu termasuk suspek utama telah direman, dengan tiga lagi terdiri daripada kekasih suspek, rakan mangsa, dan seorang yang bersama suspek semasa pengeluaran wang.
Kes diselesaikan dalam tempoh 48 jam, dan kertas siasatan sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.