IPOH: Syarikat swasta diminta memberi ruang penempatan pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkelayakan.
Panglima Markas Briged Kedua Infantri Malaysia Brig Jen Datuk Asri Shukor berkata pengambilan pekerja di kalangan golongan itu tidak akan merugikan pihak swasta kerana veteran ATM generasi baharu memiliki pengalaman dan kepakaran tinggi dalam pelbagai bidang daripada sektor pembuatan makanan hingga ke aeroangkasa.
“Tentera yang bersara berumur antara 33 hingga 42 tahun dan dengan usia yang masih muda, pastinya mereka mempunyai masa yang lama untuk menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada majikan,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (Perhebat) kepada 125 veteran ATM di sini hari ini.
Asri berkata selain memberi peluang pekerjaan, ia adalah platform terbaik untuk syarikat swasta membantu kerajaan hari ini, malah sebagai tanda penghargaan tertinggi bagi membalas jasa pengorbanan tentera di negara ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengajian Perkhidmatan Perhebat Mursyidul Kamal Mohamed dalam sidang media berkata Perhebat kini sedang memantau perkembangan kerjaya 6,851 veteran ATM yang telah tamat latihan peralihan pada tahun lepas.
Beliau berkata pemantauan tersebut dilaksanakan dalam tempoh setahun selepas tamat latihan peralihan yang dilaksanakan antara enam hingga 18 bulan dan berdasarkan pengesanan mendapati 60 peratus veteran tentera mempunyai kerjaya kedua selepas bersara.
Menurutnya lagi, 17 peratus veteran tentera memilih bekerja dengan majikan, 23 peratus menjadi usahawan tunas atau bekerja sendiri, 20 peratus menjadi usahawan manakala 40 peratus lagi sedang mencari pekerjaan yang sesuai.
“Ada antara mereka yang memilih menjadi usahawan antaranya mengusahakan tanaman cili, ternakan atau menceburi perniagaan bakeri dan pastri dan hasilnya mereka berjaya memperoleh pendapatan yang memberangsangkan,“ katanya.