PUTRAJAYA: Syarikat swasta yang berminat untuk menyertai projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) dipelawa untuk mendaftar secara sukarela melalui Portal Dasar Gaji Progresif di https://gajiprogresif.gov.my yang dibuka mulai semalam (15 Mei).

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan projek rintis itu dibuka kepada enam sektor iaitu pembinaan, pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

KESUMA memberitahu syarikat yang terpilih akan menerima insentif maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja kumpulan peringkat permulaan, manakala maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja kumpulan bukan peringkat permulaan.

Pekerja peringkat permulaan merujuk kepada pekerja yang berkhidmat dalam tahun pertama di syarikat dan jawatan tersebut, manakala pekerja bukan peringkat permulaan bermaksud pekerja yang telah mengisi jawatan di syarikat lebih daripada setahun.

“Kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan keberhasilan pekerja. Syarikat yang menyertai DGP perlu menyediakan dokumen yang mengesahkan pekerja telah menghadiri dan melengkapkan kursus serta latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya 21 jam (tiga hari).

“Tuntutan insentif boleh dibuat oleh majikan mulai Jun ini,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan DGP merupakan komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh serta meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.

“Pengenalan dasar baharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti,” menurut KESUMA.

Pada Sambutan Hari Pekerja 1 Mei lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan komitmen kepada pekerja swasta mengenai dasar gaji progresif membabitkan 1,000 syarikat tempatan dengan peruntukan RM50 juta oleh Kementerian Ekonomi, bermula Jun ini.