• 2025-07-28 07:39 PM

KUCHING: Taktik licik sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sebagai stor bergerak berjaya dipatahkan polis dalam operasi khas di Kota Sentosa pada 19 Julai lalu.

Dua lelaki tempatan berusia 25 dan 27 tahun ditahan dalam kereta Perodua Alza yang digunakan untuk mengedar dadah.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan, sindiket ini aktif sejak awal tahun dan menggunakan kaedah canggih untuk mengelak dikesan.

“Mereka meninggalkan kereta berisi dadah di lokasi tertentu tanpa dikunci, membolehkan pembeli mengambil bekalan tanpa interaksi fizikal,“ katanya.

Pemeriksaan menemui 80 bungkusan syabu bertulisan “Guan Yin Wang” seberat 83 kilogram, bernilai RM3.07 juta.

Dadah ini mampu merosakkan 415,000 pengguna.

Polis turut merampas wang tunai RM1,100, menjadikan jumlah rampasan keseluruhan RM3.072 juta.

Siasatan awal mendapati dadah diperoleh dari Semenanjung Malaysia melalui laluan udara untuk dipasarkan di Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Seorang suspek positif dadah, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Kedua-duanya direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama