Your Title

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata tidak ada bukti kukuh yang boleh menyokong dakwaan bahawa bandar raya ini tidak selamat untuk diduduki seperti laporan yang ditularkan oleh media sosial.

Maimunah berkata Kuala Lumpur telah lama dibangunkan dan dakwaan bahawa ia tidak selamat untuk pembangunan perlu disertakan dengan bukti dan kajian yang kukuh.

“Saya berpendapat Kuala Lumpur telah lama dibina dan selama ini ia selamat. Oleh itu kalau nak katakan tidak selamat mesti ada bukti kukuh dan kajian terperinci.

“Berikutan itu kami telah wujudkan pasukan petugas termasuk Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya untuk melihat serta kaji keadaan ini, namun kalau dilihat daripada keadaan semasa Kuala Lumpur masih selamat kecuali ada bukti kajian,” katanya dalam sidang media di Jalan Masjid India di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam.

Beliau berkata pasukan itu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan telah diaktifkan.

Maimunah berkata hasil mesyuarat penyelarasan bersama pelbagai agensi yang berkaitan hari ini, beliau memberi jaminan situasi sekitar Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal serta selamat untuk dikunjungi.

Sebelum ini tular di Facebook hantaran yang dimuat naik oleh seorang aktivis alam sekitar pada 2015 yang mendakwa tempat paling tidak selamat di Malaysia adalah Kuala Lumpur dan berpotensi berlaku ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.

Hantaran itu antara lain menyebut 40 hingga 60 peratus dasar Kuala Lumpur adalah batu kapur dan pembangunan tanpa henti dengan sistem saliran yang tidak tersusun boleh menyebabkan kejadian itu lebih cepat berlaku.