REMBAU: Tangisan ibu bapa murid Tahun Empat yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sekolah di Senawang, semalam, menyelubungi suasana pilu di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini.
Pasangan tersebut tiba kira-kira 1 tengah hari tadi, ditenangkan ahli keluarga yang berada di pekarangan hospital tersebut.
Kehadiran mereka bagi mengetahui laporan keputusan bedah siasat terhadap murid lelaki berusia 10 tahun itu, yang bermula tengah hari tadi.
Media sebelum ini melaporkan murid terbabit ditemukan tidak sedarkan dalam tandas sekolah tengah hari semalam, sebelum mangsa dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta namun disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor.
Menurut sumber keluarga, pasangan itu tidak mampu ditemu bual kerana terlalu terkesan dengan tragedi yang menimpa anak mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata siasatan awal kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan buli.
“Ya, siasatan menjurus ke arah tersebut, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh sama ada wujud atau tidak sebarang unsur-unsur buli berlaku,” katanya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut dilaporkan berkata kementeriannya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus.
Beliau berkata KPM pada peringkat ini memberi tumpuan kepada proses psikososial serta sokongan emosi kepada murid dan guru di sekolah berkenaan - Bernama