• 2025-10-02 09:30 PM

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melancarkan Wasco Forest Fasa 2, iaitu program penanaman pokok meliputi kawasan seluas 670 hektar dengan visi menanam sejuta pokok bagi menyokong usaha penghutanan semula di Hutan Simpan Lepar.

Program anjuran Wasco Berhad (Wasco) dan Yayasan Wasco dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang itu menzahirkan komitmen negeri terhadap kemampanan alam sekitar di samping menyumbang kepada Pahang Sifar Bersih Karbon 2030 serta komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Berangkat sama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Yayasan Wasco Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco Giancarlo Maccagno.

Dalam ucapannya, Mohamed Nizam berkata inisiatif itu mencerminkan sumbangan Wasco terhadap matlamat iklim Malaysia dan usaha penghutanan semula global dalam memulihkan tanah terdegradasi, menyerap karbon serta melindungi khazanah semula jadi negara.

Beliau berkata Fasa 2 dibangunkan berasaskan kejayaan Wasco Forest Fasa 1 yang dilancarkan pada 2021, yang menyaksikan penanaman 160,000 pokok di kawasan seluas 100 hektar dengan kadar kelangsungan hidup sebanyak 87 peratus.

“Fasa kedua ini bukan sekadar mengenai penanaman pokok, ia juga melibatkan pemuliharaan dan penambahbaikan, membangunkan hutan sekunder, memperkukuh biodiversiti serta mewujudkan makmal hidup yang membolehkan universiti dan penyelidik mengkaji ekosistem untuk dekad-dekad akan datang.

“Ia juga mengenai kerjasama komuniti bersama Orang Asli, yang ilmu dan tradisi mereka menjadi sebahagian penting kepada kemampanan landskap ini serta kebijaksanaan mereka amat signifikan untuk masa depan tanah ini. Usaha bersama ini membentuk kisah kesinambungan dan aspirasi daripada 160,000 pokok yang telah ditanam di Wasco Forest Fasa 1 di Hutan Simpan Berkelah,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Nizam berkata berbeza dengan kempen penanaman konvensional, Fasa 2 memberi tumpuan kepada pengayaan hutan sekunder dengan menggabungkan spesies cepat tumbuh seperti kelampayan bersama tumbuhan kayu keras termasuk merawan dan meranti.

Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai bagaimana Wasco akan memastikan kelangsungan hidup sejuta pokok di bawah Fasa 2, Maccagno berkata komitmen syarikat itu bukan sekadar penanaman tetapi turut merangkumi pemantauan dan penyelenggaraan berterusan.

“Ia bukan sekadar tanam dan kemudian membiarkannya. Kami komited terhadap pemantauan berterusan. Sebagai contoh, pokok yang ditanam pada 2021 telah dipantau semula dua tahun kemudian bagi menentukan kadar kelangsungan hidupnya. Pada masa sama, kami juga mengukur stok karbon dan biodiversiti,” katanya.

Beliau berkata usaha penghutanan semula itu dilaksanakan dengan kerjasama erat Jabatan Perhutanan Pahang yang memberikan panduan teknikal mengenai jenis dan lokasi pokok yang perlu ditanam.

Maccagno berkata kerja-kerja penyelenggaraan merangkumi pengubahsuaian aliran air bagi memastikan kawasan yang kering mendapat bekalan air mencukupi, serta penggunaan baja dengan cara dan kuantiti yang tepat seperti disarankan oleh pakar perhutanan.

“Kami mempunyai petugas di lapangan setiap hari. Jika terdapat pokok yang menunjukkan keadaan kurang baik, tindakan segera akan diambil dengan merujuk kepada pakar. Inilah komitmen kami untuk tempoh 30 tahun akan datang,” katanya - Bernama