Your Title

NIBONG TEBAL: Jentera Kerajaan Perpaduan perlu mempergiat usaha menarik sokongan pengundi atas pagar pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari terakhir hari ini jika mahu calon Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK itu esok, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

Beliau berkata ini kerana undi kumpulan itu akan menjadi penentu kepada kemenangan calon bertanding dan boleh menyebabkan perubahan kerajaan.

“Jangan lupa, kita ini ditentukan oleh pengundi atas pagar dan mereka kumpulan yang paling besar dalam mana-mana pilihan raya. Ikut suka dia nak ke mana. Inilah saya rasa kita perlu mula di Sungai Bakap,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perpaduan di Sungai Bakap Perdana 1 di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan serta calon PH bagi PRK itu Dr Joohari Ariffin.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas, Nor Zamri merampas kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.